Wednesday, April 10, 2013

Nilai Masa Wang


Salah satu konsep paling asas (dan penting) dalam analisis pelaburan ialah nilai masa wang. Ia membentuk asas celik kewangan dan menjadi asas untuk memahami penilaian dan pelaburan.
Warren Buffett, salah seorang pelabur paling berjaya sehingga kini, amat mempercayai nilai masa wang, lebih gemar memilih untuk melaburkan semula wang yang dijana daripada perniagaan daripada menggunakannya untuk membayar dividen kepada pemegang saham syarikatnya. Dengan cara ini, wang itu terus berkembang. Begitu juga, nilai pelaburannya akan berganda mengikut masa, sama seperti bagaimana bakteria membiak, dan kesannya, pulangan akan datang meningkat lebih tinggi. Inilah yang dikatakan kuasa masa terhadap nilai wang.
Apabila Buffett menerajui syarikat pelaburannya, Bershire Hathaway pada tahun 1964, nilai bukunya hanyalah $19.46 dan nilai intrinsiknya lebih rendah lagi. Hari ini, nilai bukunya bagi sesaham lebih daripada $20,000 manakala nilai intrinsiknya pula jauh lebih tinggi. Kadar pertumbuhan nilai buku sesaham dalam tempoh ini melebihi 25% yang terkompaun secara tahunan. Sesiapa yang membeli saham Bershire pada tahun 1964 menjadi kaya hari ini!
Dalam modul ini, konsep nilai masa pada wang akan diterangkan dan dijelaskan melalui pelbagai contoh.
Nilai masa depan berbanding nilai kini
Nilai dan keputusan kewangan boleh dinilai menggunakan sama ada teknik nilai masa depan atau nilai kini. Walaupun kedua-dua teknik ini jika diaplikasikan dengan betul, akan menghasilkan keputusan yang sama, kedua-duanya dilihat secara berbeza. Teknik nilai masa depan digunakan untuk mencari nilai masa depan, yang masih diukur secara tipikal pada penghujung pelaburan tersebut, manakala teknik nilai kini digunakan untuk mencari nilai kini – nilai pelaburan pada hari ini (sekarang).
Teknik nilai masa depan menggunakan pengkompaunan untuk mencari nilai masa depan aliran tunai; manakala teknik nilai kini menggunakan pendiskaunan untuk mencari nilai kini aliran tunai masa depan.


Sumber :-SIDC

0 comments:

Post a Comment

PENAFIAN

Laman ini adalah untuk berkongsi rasa, pengalaman, kemahiran dan ilmu pengetahuan. Jika anda menggunakan sebarang maklumat untuk kepentingan diri anda. Pemilik blog ini tidak akan bertanggungjawab atas kerugian yang anda alami berdasarkan penggunaan maklumat di dalam blog ini. Harap maklum.